Kisah ini amat popular dalam kalangan Syiah, asatizah dan juga para penulis artikel. Akan tetapi, kisah ini TIDAK SAHIH.
Kisah ini diceritakan oleh al-Suhailī [wafat 581H] dalam al-Raudh al-Unuf, dengan membawa riwayat dari Ibn Ishāq:
قال ابن إسحاق: حدثني عبد الله بن الحسن عن بعض أهله عن أبي رافع مولى رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: خرجنا مع علي بن أبي طالب رضي الله تعالى عنه حين بعثه رسول الله صلى الله عليه وسلم برايته فلما دنا من الحصن خرج إليه أهله فقاتلهم فضربه رجل من يهود فطاح ترسه من يده فتناول علي عليه السلام بابا كان عند الحصن فترس به عن نفسه فلم يزل في يده وهو يقاتل حتى فتح الله عليه ثم ألقاه من يده حين فرغ فلقد رأيتني في نفر سبعة معي، أنا ثامنهم نجهد على أن نقلب ذلك الباب فما نقلبه
Maksudnya: "Kata Ibn Ishāq: Telah menceritakan padaku 'Abd Allah bin al-Hasan, dari sebahagian keluarganya, dari Abū Rāfi' mawla Rasulullah ﷺ berkata: kami telah keluar bersama 'Alī bin Abī Tālib radiyallahu'anhu ketika mana beliau diutuskan oleh Rasulullah ﷺ dengan panjinya. Ketika kami menghampiri sebuah kubu, telah keluar musuh dari kubu itu dan menyerang 'Alī akan tetapi 'Alī berjaya membunuhnya. Seorang Yahudī telah memukul 'Alī hingga perisai 'Alī hancur dari tangannya. Lalu 'Alī 'alaihissalām bingkas mengambil pintu di kubu tersebut sebagai perisai beliau, dan pintu itu berterusan di tangannya ketika berperang sehingga Allah memberikan kemenangan ke atasnya barulah beliau mencampakkannya. Engkau telah melihat 7 golongan dan aku golongan ke-8, kami berusaha membalikkan pintu itu tetapi tidak berjaya." [1]
Al-Zahabī [wafat 748H] dalam Tārīkh al-Islām mengatakan riwayat ini mempunyai sanad terputus:
رواه البكائي، عن ابن إسحاق، عن أبي رافع منقطعا
Maksudnya: "Diriwayatkan oleh al-Bakkā'ī, dari Ibn Ishāq, dari Abū Rāfi' secara terputus (sanadnya)." [2]
Begitu juga kata murid al-Zahabī iaitu Ibn Kathīr [wafat 774H] dalam al-Bidāyah wa al-Nihāyah:
وفي هذا الخبر جهالة وانقطاع ظاهر. ولكن روى الحافظ البيهقي والحاكم من طريق مطلب بن زياد، عن ليث بن أبي سليم، عن أبي جعفر الباقر عن جابر: أن عليا حمل الباب يوم خيبر حتى صعد المسلمون عليه فافتتحوها وأنه جرب بعد ذلك فلم يحمله أربعون رجلا. وفيه ضعف أيضا. وفي رواية ضعيفة عن جابر ثم اجتمع عليه سبعون رجلا وكان جهدهم أن أعادوا الباب
Maksudnya: “Pada khabar (riwayat) ini jahālah (mempunyai perawi majhul) serta jelas terputus (sanad). Akan tetapi al-Hāfiz al-Baihaqī dan al-Hākim melalui jalur Muttalib bin Ziyād, dari Laīth bin Abī Salīm, dari Abū Ja'afar al-Bāqir, dari Jābir: bahawasanya ‘Alī pernah memikul pintu (sebagai perisai) pada peperangan Khaibar sehingga tentera Islam boleh menaiki di atas pintu itu dan mereka telah memenangi peperangan tersebut. Pernah pintu itu cuba dipikul selepas peperangan tersebut oleh 40 orang tetapi tidak berjaya. Dan riwayat ini juga dhaif. Dalam satu riwayat dhaif dari Jābir, seramai 70 orang telah berkumpul berusaha untuk mengulangi (memikul) pintu itu.” [3]
Kata Ibn Hajar al-‘Asqalānī [wafat 852H] bahawa riwayat ini mempunyai perawi bernama Harām bin ‘Uthmān yang dinilai matruk [4], manakalah al-Zahabī dalam Mīzān al-‘Iktidāl mengatakan riwayat dari Abū Ja’afar dari Jābir adalah mungkar [5].
Terdapat banyak lagi kritikan mengenai kisah di atas. Kata Dr. Dhiyā’ al-‘Umarī mengenai kisah di atas menyimpulkan:
ووردت عدة روايات تفيد تترّس علي رضي الله عنه بباب عظيم كان عند حصن ناعم، بعد أن أسقط يهودي ترسه من يده، وكلها روايات ضعيفة، واطّراحها لا ينفي قوة علي وشجاعته، فيكفيه ما ثبت في ذلك وهو كثير
Maksudnya: “Terdapat pelbagai riwayat yang mengisahkan perihal perisai ‘Alī radiyallhu’anhu dari pintu besar Kubu Nā’im, selepas puak Yahudī menjatuhkan perisai dari tangannya, kesemua riwayat itu dhaif. Mencampakkan riwayat ini bukan bermakna menafikan kekuatan dan keberanian beliau, tetapi memadailah dengan riwayat tsabit (sahih) yang banyak mengenai beliau.” [6]
Seruan Terhadap Kisah-Kisah Al-Maghāzī Yang Sahih
Terdapat seruan dari para sarjana Islam untuk merujuk pada al-Maghāzī (kisah-kisah peperangan) yang sahih. Antaranya dari Imam Dār al-Hijrah (Anas bin Mālik) supaya berpegang pada kitab al-Maghāzī karya Musa bin 'Uqbah [wafat 140H], anak murid Imam al-Zuhrī yang merupakan kitab paling sahih mengenai al-maghāzī. Begitu juga kata Ibn Taimiyyah bahawa penduduk Madīnah paling mengetahui mengenai al-Maghāzī, disusuli penduduk Syām dan Irāq. (lihat petikan kitab di bawah)
Justeru, merujuk dan menyemak pada sirah yang sahih dan menukilkannya adalah seruan dan galakan para imam yang perlu kita teladani. Akan tetapi, bukan bermakna ada riwayat yang sahih, maka riwayat yang dhaif ditolak secara mutlak. Dr. Dhiyā’ al-‘Umarī menukilkan kalam bermanfaat al-Kāfiyajī [wafat 879H], seorang ulama tarikh dan tafsir:
يجوز للمؤرخ أن يروي في تاريخه قولاً ضعيفاً في باب الترغيب والترهيب والاعتبار مع التنبيه على ضعفه، ولكن لا يجوز له ذلك في ذات الباري عز وجل وفي صفاته ولا في الأحكام
Maksudnya: "Harus bagi sejarawan untuk meriwayatkan qaul dhaif dalam kitab tarikhnya pada bab al-targhīb wa al-tarhīb, dan mengambil pengajaran serta peringatan akan kelemahannya. Akan tetapi (qaul dhaif itu) tidak boleh pada zat Allah 'azzawajal, pada sifatnya serta hukum-hukam." [7]
Wallahu’alam
Terjemahan artikel asal:
RUJUKAN:
[1] Al-Suhailī, al-Raudh al-Unuf fi Syarh al-Sīrah al-Nabawiyyah li Ibn Hisyām, Dār al-Ihyā' al-Turāth al-'Arabī Beīrūt, Cetakan tahun 2000, juz. 7, ms. 102.
[2] Al-Zahabī, Tārīkh al-Islām wa Wafayāt al-Masyāhīr al-'Alām, Dār al-Kitāb al-'Arabī Beīrūt, Cetakan 1993, juz. 2, ms. 412.
[3] Ibn Kathīr, al-Bidāyah wa al-Nihāyah, Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī, Cetakan tahun 1988, juz. 4, ms. 216.
[4] Ibn Hajar al-‘Asqalānī, al-Isābah fī Tamyīz al-Sahābah, Dār al-Kutb al’Ilmiyah, Cetakan tahun 1415H, juz. 4, ms. 466.
[5] Al-Zahabī, Mīzān al-‘Iktidāl fī Naqd al-Rijāl, Dār al-Ma’rifah Beīrūt, Cetakan tahun 1963, juz. 3, ms. 113.
[6] Dr. Akram Dhiyā’ al-‘Umarī, al-Sīrah al-Nabawiyyah al-Sahīhah, Maktabah al-‘Ulūm wa al-Hikm, Cetakan tahun 1994, ms. 324.
[7]
Dr. Dhiyā’ al-‘Umarī, Buhūth fī al-Tārīkh al-Sunnah al-Musyarrifah, Maktabah al-'Ulūm wa al-Hikam, Cetakan tahun 1415H, ms. 275.
No comments:
Post a Comment