Penceramah: TG Sheikh Dr. Shuhadak Mahmud Al-Ja'fari
Lokasi: Surau Taman Pinang Gading, Seremban
Tarikh: 28/7/2018
Hadith:
من صلى خلف مغفور له غفر له
Maksudnya: "Barang siapa yang solat di belakang orang yang diampunkan dosanya, maka dosanya juga turut diampunkan."
Huraian:
- Ustaz ini mendakwa beliau mengambil hadith ini dari al-'Allāmah Sheikh Nuruddin al-Makkī. Apabila disemak di dalam mana-mana kitab hadith, tidak ditemui asalnya.
- Akan tetapi, matan hadith ini terdapat di dalam kitab al-Madkhal, sebuah kitab fiqh mazhab Malikī karya Ibn al-Hāj al-Malikī [wafat 737H] tanpa menyebut jelas sama ada ia adalah qaul Nabi ﷺ ataupun tidak. Namun jelas berdasarkan petikan kitab, boleh jadi ia adalah kalam dari penulis kitab ketika menghuraikan fadhilat solat berjemaah. (lihat petikan kitab di bawah)
Sheikh Hasan Muhammad al-Mashshāth [wafat 1399H], seorang ulama mazhab Malikī di dalam kitabnya Is'āf Ahl al-Islām, halaman 52, turut menukilkan hadith ini di dalam kitabnya dan menerangkannya sebagaimana berikut:
(من صلى خلف مغفور له غفر له)
ذكر العراقي في تخريج أحاديث الإحياء حديث أبي الدرداء، أن هذه أمة منظور إليها من بين الأمم، وإن الله إذا نظر لعبد في الصلاة غفر له ولمن وراءه من الناس. قال العراقي ولم أجده بهذه اللفظة وروى ابن عساكر في تاريخ دمشق عن كعب الأخبار نحوه
Maksudnya: "(من صلى خلف مغفور له غفر له) - Al-'Irāqī telah menyebut di dalam takhrij hadith al-Ihyā', hadith dari Abū al-Dardā', bahawa umat ini dipandang di antara umat-umat lain, dan sesungguhnya Allah apabila melihat hambanya ketika bersolat, diampunkan dosanya dan juga dosa orang yang solat dibelakangnya dalam kalangan orang ramai. Kata al-`Irāqī: aku tidak temui lafaz hadith ini, dan diriwayatkan juga oleh Ibn 'Asākir dalam Tārikh Dimashq dari Ka'ab dengan khabar yang sama." (lihat petikan kitab di bawah)
Apabila disemak di dalam kitab Ihyā' 'Ulūm al-Dīn, maksud hadith seakan sama tetapi tidak dari segi matannya. Imam al-Ghazālī juga tidak menyebut sanadnya dengan jelas malah matan hadith itu juga berterabur, dengan sekadar menyebut Nabi ﷺ dan beberapa perawi pernah berkata sedemikian, yang juga dinilai oleh al-'Irāqī dan al-Subkī sebagai tiada asalnya. (lihat petikan kitab di bawah)
Kata tokoh muhaddith beraqidah al-Asyā'irah masakini iaitu Sheikh Salāh al-Dīn al-Idlibī ketika ditanya mengenai hadith ini melalui Facebook rasmi beliau menjawab: tidak wujud hadith ini dari Nabi ﷺ, para sahabat dan tabi'in dan makna hadith ini mungkar. (lihat screenshot jawapan beliau)
KESIMPULAN
Hadith ini jelas TIADA ASALNYA di dalam mana-mana kitab hadith. Malah matannya juga mungkar. Bagaimana mungkin seseorang makmum itu tahu imam di hadapannya telah diampuni dosanya? Ia sesuatu perkara yang tidak masuk akal dan memerlukan kepada dalil syarak. Begitu juga mengenai hadith yang hampir sama: "Barang siapa yang makan bersama orang yang diampunkan dosanya, maka dosanya juga turut diampunkan." Kata Ibn Kathīr hadith ini juga tiada asalnya. Ia diriwayatkan oleh orang salih melalui mimpi mereka bertemu Nabi ﷺ. (lihat petikan kitab di bawah)
Sekalipun hadith itu dinukilkan oleh ulama hebat, salih dan bertaqwa, selagi mana ia tiada dalam kitab hadith, maka secara automatik hadith itu tertolak. Inilah yang disebut oleh Mur’ī al-Karmī al-Hanbalī [wafat 1033H] dalam al-Fawāid al-Maudhū’ah yang menukilkan kalam al-Suyūthī:
وأما الآن فالعمدة على الكتب المدونة فمن جاء بحديث غير موجود فيها فهو رد عليه وإن كان من أتقى المتقين
Maksudnya: “Adapun sekarang ini, yang dibuat pedoman (rujukan) adalah kitab-kitab yang telah dibukukan. Maka barang siapa yang mendatangkan hadith yang tidak wujud dalam kitab-kitab yang dibukukan, maka hadith tersebut dikembalikan kepada yang membawanya (ditolak) walaupun dia seorang yang paling bertaqwa." (lihat petikan kitab di bawah)
Wallahu`alam
Lajnah Buhuth Makan Keliling
No comments:
Post a Comment