Showing posts with label Siyasah. Show all posts
Showing posts with label Siyasah. Show all posts

Monday, 4 February 2019

Perbezaan Politik Membawa Pergaduhan

Zaman sekarang tak cukup FB sembang politik, ada group WhatsApp politik pula. Bergaduh sampai left group, unfriend dan unfollow rakan-rakan yang dulu rapat bagai isi dan kuku.
Bagi mereka yang berpolitik siang-malam, mari lihat apa kata Sheikh Muhammad Abu Zahrah [wafat 1394H], pengarang kitab Zahrah al-Tafāsir mengenai politik dalam kitab ini:
وهنا يسأل سائل: لماذا اختلف المسلمون بعد النبي ﷺ، وقد تركهم على الحجة الواضحة ليلها كنهارها؟ وترك فيهم ما إن أخذوا به لن يضلوا أبدا، فقد ترك فيهم كتاب الله وسنة رسوله ﷺ؟ والجواب عن ذلك أن أسباب الاختلاف كانت كثيرة، والاختلاف قسمان: اختلاف لم يفرق الأمة، ولم يجعل بأسها بينها شديدا، واختلاف قد فرق الأمة وأذهب وحدتها، وهو الخلاف في السياسة وشئون الحكم.
Maksudnya: "Seseorang bertanya di sini: kenapa orang Islam berikhtilaf selepas kewafatan Nabi ﷺ? Bukankah Baginda telah meninggalkan mereka hujah yang terang malam seperti siang? Bukankah Baginda telah meninggalkan mereka sesuatu jika mereka berpegang dengannya tidak akan sesat selamanya? Bukankah Baginda telah meninggalkan mereka al-Quran dan Sunnah Rasulullah ﷺ? Jawapan bagi soalan ini ialah bahawasanya sebab ikhtilaf itu banyak dan ikhtilaf itu terbahagi kepada dua: (1) ikhtilaf yang tidak memecahkan umat dan tidak menjadikan kerosakan yang dasyhat, (2) ikhtilaf yang memecahkan umat dan membawa kehancuran iaitu khilaf politik dan urusan pemerintahan."
Sheikh Muhammad Abu Zahrah [wafat 1394H]

Tidak kira dari parti Islam atau tidak, apakah maqasid politik anda hari-hari? Ingin mencela, mengejek atau sebaliknya? Apakah yang anda dapat selepas itu? Fikirkanlah.
Nasihat untuk diri ini dan juga yang lain.


Rujukan

Tārīkh al-Mazāhib al-Islāmiyyah fī al-Siyāsah wa al-'Aqāid wa Tārīkh al-Mazāhib al-Fiqhīyyah (ms. 12).

Monday, 28 January 2019

Sifat & Perangai Pengtaksub Mazhab & Parti Politik

Foto sekadar hiasan. Di ambil dari TANWIR


Setiap hari kita sering melihat pergaduhan di media sosial mahupun di kedai kopi mengenai penyokong parti politik atau mazhab yang ghuluw serta fanatik terhadap pihak yang mereka sokong. Di sini penulis ingin membawa dua perkara yang selalu terjadi bagi pelampau parti politik dan mazhab.

  • Provokasi

Sesungguhnya setiap pentaksub suka membuat provokasi murahan. Ia pernah dilakukan ulama mazhab terdahulu dari Nishapur, Iran:

الحسن بن أبي بكر النيسابوري الحنفي، دخل بغداد مع السلطان السلجوقي مسعود ما بين سنتي 515-530ه‍، فجلس للوعظ بجامع القصر و لعن أبا الحسن الأشعري علانية، و كان يقول: كن شافعيا ولا تكن أشعريا، وكن حنفيا ولا تكن معتزليا، وكن حنبليا ولا تكن مشبها

Maksudnya: "Al-Hasan bin Abi Bakar al-Nishapury al-Hanafiy, telah memasuki kota Baghdad bersama Sultan Seljuq iaitu Sultan Mas'ud diantara tahun 515H-530H. Beliau (al-Hasan bin Abi Bakar) telah mengadakan pidato di masjid al-Qasr dan beliau telah melaknat Abu al-Hasan al-Ash'ariy secara terang-terangan dan beliau berkata: jadilah pengikut Syafi'i, jangan kamu menjadi pengikut Ash'ariy, jadilah pengikut Hanafi, jangan kamu menjadi pengikut Mu'tazilah, jadilah pengikut Hanbali dan jangan kamu menjadi seorang musyabbih (orang yang menyamakan Allah dengan makhluk)."

Dalam kes di atas, kita selalu mendengar provokasi "apa barang sokong PH, sokonglah PAS" dan sebagainya dalam banyak isu politik. Inilah punca kepada pergaduhan.

  • Bergaduh di dalam masjid

Kita seringkali mendengar berita pengtaksub suka bergaduh di dalam masjid. Ia juga berlaku pada zaman dahulu:

عيسى بن عبد الله الغزنوي الشافعي، دخل بغداد سنة 495 هجرية ووعظ بها وأظهر الأشعرية، فمن ذلك أنه وعظ ذات يوم بجامع المنصور وأظهر مذهب الأشعري، فمال إليه بعض الحاضرين، واعترض عليه الحنابلة، فنشب عراك بين الجماعتين داخل المسجد. ولا ندري ما حدث بعد ذلك بين الفريقين، لأن ابن الجوزي روى الخبر موجزا. ومن ذلك أيضا إن هذا الرجل أي الغزنوي مرّ ذات يوم برباط شيخ الشيوخ أبي سعد الصوفي ببغداد ليذهب إلى بيته، فرجمه بعض الحنابلة من مسجد لهم هناك، فهب أصحابه لنجدته والتفوا حوله

Maksudnya: "'Isa bin 'Abd Allah al-Ghaznawiy al-Syafi'i telah memasuki kota Baghdad pada tahun 495 Hijriyyah dan beliau telah berpidato disitu dan mempromosikan mazhab al-Ash'ariy. Pada suatu hari ketika beliau berpidato di masjid al-Mansur dan mempromosikan mazhab al-Ash'ariy, sebahagian handirin telah tertarik pada pidatonya. Tidak berpuas hati keadaan itu, golongan al-Hanabilah memprotes pidatonya lalu terjadilah pergelutan antara dua jemaah ini di dalam masjid. Kami tidak mengetahui apa yang terjadi antara dua kumpulan selepas itu, kerana Ibn al-Jawzi meriwayatkan kisah ini secara ringkas. Seterusnya juga pada suatu hari lelaki tersebut iaitu al-Ghaznawiy telah melintasi sebuah ribath Sheikh al-Syuyukh Abu Sa'd al-Sufiy (Abu al-Barakat, wafat 541H) di kota Baghdad untuk menuju kerumahnya, diperjalanan itu beliau telah dilempar oleh sebahagian golongan al-Hanabilah dari masjid mereka disana, maka bertempiaran berlari keluar puak al-Ghaznawiy untuk membantu dan menyelamatkannya dengan mengelilinginya."

Isu bergaduh di dalam masjid bukan isu biasa, malah ianya isu besar melanda umat kerana taksub pada tahi hizbi dan pimpinan masing-masing, sama ada di dalam PAS, PH & UMNO.


  • Masjid berlainan

Perkelahian mazhab pernah berlaku pada akhir kurun ke-13 hijrah di antara al-Shafi`iyyah & al-Hanafiyyah. Salah seorang sheikh al-Shafi`iyyah dari Ṭarābulus al-Sham (طرابلس الشام), sebuah tempat di Tripoli, Libya pernah berjumpa mufti dengan berkata:
اقسم المساجد بيننا و بين الحنفية، لأن فلانا من فقهائهم يعتبرنا كأهل الذمة، بما أذاعه في هذه الأيام من اختلاف الأحناف في: هل يجوز للحنفي أن يتزوج شافعية؟ فقال بعضهم: لا يصح لأنها تشك في إيمانها، لأن الشافعية يُجيزون أن يقول المسلم: أنا مؤمن إن شاء الله. وهذا يدل على عدم تيقنها في إيمانها، والإيمان لابد فيه من اليقين!
Maksudnya: "Asingkanlah masjid-masjid antara kami (al-Shafi`iyyah) dan juga al-Hanafiyyah, kerana ada seorang fulan dari fuqaha' mereka menganggap kami seperti ahl al-zimmah, berpunca dari penyebaran ikhtilaf golongan mazhab Hanafi hari ini mengenai perkara: adakah boleh bagi orang yang bermazhab Hanafi hendak berkahwin dengan orang yang bermazhab Syafi`i? Kata sebahagian mereka (al-Hanafiyyah): tidak sah kerana dia ragu-ragu akan imannya, kerana al-Syafi`iyyah mengharuskan seseorang muslim berkata: aku seorang mukmin beriman, inshaAllah. Ini adalah tanda ketidakyakinan mereka pada iman, dan iman itu mestilah dengan yakin!" 
Kejadian di atas pernah berlaku pada senario politik tanah air kita seperti dua solat jema`ah dalam satu masjid dan lain-lain kerana berbeza mazhab politik. Apakah penyelesaiannya? Mudah sahaja, jangan taksub!



Rujukan:


  1. Dr. `Umar Sulaiman al-Ashqar, Tarikh al-Fiqh al-Islamiy, ms 166-167
  2. Dr. Khalid Kabīr 'AIlāl, al-Ta'asub al-Mazhabīy fī al-Tārīkh al-Islāmīy (269-270)

Sunday, 27 January 2019

Pelampau Politik Seperti Pelampau Mazhab Abu al-Futuh




Siapa yang mengikuti pertelingkahan mazhab al-Hanabilah dan al-Asya'irah akan mengetahui kisah pelampau terkenal bernama Muhammad bin al-Fadhl al-Isfarayiiniy, lebih dikenali sebagai Abu al-Futuh atau Ibn al-Mu'tamid [wafat 538H].

Kata sejarawan Islam, Dr. Khalid Kabir `AIlal dalam kitab al-Ta'assub al-Mazhabiy (halaman 271), Abu al-Futuh diusir keluar dari kota Baghdad kerana sikap pelampau beliau:

دخل بغداد سنة 515 هجرية، وتفرّغ للوعظ واتخذه وسيلة لإظهار مذهب الأشعري والدعوة إليه، ومهاجمة خُصومه، وقد مارس ذلك علانية وبالغ في التعصب للأشعرية والحط على الحنابلة، فكثُرت بينه وبينهم اللعنات والفتن، وفي سنة 521 هجرية رجمه العوام أكثر من مرة في الأسواق، ورموا عليه الميتات، ولعنوه وسبوه، لمبالغته في إظهار الأشعرية والدعوة إليها، فلما سمع بذلك الخليفة العباسي المسترشد بالله، منعه من الوعظ، وأمر بإخراجه من بغداد

Maksudnya: "Beliau memasuki kota Baghdad pada tahun 515 Hijrah, beliau meluangkan masa dengan berpidato dan menjadikannya sebagai wasilah untuk mempromosi dan menyeru kepada al-Asya'irah. Pidato beliau juga sebagai wasilah untuk menyerang lawannya. Beliau berterusan melakukan hal demikian secara terangan sehingga jelas terpancar ketaksuban pada al-Asya'irah dan menghina al-Hanabilah. Banyak laknat, kutukan dan fitnah terjadi antara beliau dan al-Hanabilah. Pada tahun 521 Hijrah, ramai orang awam melempar lebih dari sekali kepada Abu al-Futuh di pasar-pasar. Mereka membaling bangkai, melaknat dan mencela beliau atas sebab keterlampauan beliau dalam mempromosikan al-Asya'irah dan seruan kepadanya. Ketika mendengar khabar ini, Khalifah `Abbasiyyah waktu itu iaitu al-Mustarsyid Billah telah melarang beliau dari berpidato dan memerintahkan beliau diusir keluar dari kota Baghdad."

Akan tetapi, sikap pelampau beliau tidak terhenti disitu. Selepas al-Murtasyid Billah wafat pada 529 Hijrah, beliau kembali ke kota Baghdad:

لكن لما تُوفي الخليفة رجع أبو الفتوح إلى بغداد واستوطنها، وعاد إلى عادته القديمة، فأظهر الأشعرية وذم الحنبلية، وعادت الفتن واللعنات كما كانت عليه من قبل، فأُخرج ثانية من بغداد، وأُلزم بالمكوث ببلده إسفرايين بخُراسان

Maksudnya: "Akan tetapi apabila wafatnya Khalifah (al-Mustarsyid Billah), Abu al-Futuh kembali dan tinggal di kota Baghdad, beliau kembali melakukan perkara sama yang lepas, mempromosikan al-Asya'irah dan mencela al-Hanabilah. Fitnah dan laknat kembali muncul sebagaimana sebelumnya. Beliau diusir keluar buat kali kedua dari kota Baghdad. Beliau telah menetap di negerinya; Isfarayiin di Khurasan."

Dapat disimpulkan kejadian pelampau politik adalah sama seperti pelampau mazhab sebagaimana diceritakan. Dalam kempen PRU/PRK, banyak kejadian seperti ejekan, cercaan dan sebagainya terjadi dalam semua parti di Malaysia.

Nasib baik Malaysia tiada RUU Pelampau Politik. Kalau ada, dinasihatkan supaya ada klausa untuk diusir pelampau politik ini keluar negeri! ☺

Ibarat salaf لا يفسرها Merujuk Kepada لا يكيفها

Ramai mengatakan "mafhum" ibarat salaf (لا يفسرها) atau seumpamanya pada riwayat ayat sifat adalah indikasi mereka tidak menafsir...