- Siapakah al-Baghawi?
Beliau adalah Abu Muhammad al-Husain bin Mas'ud bin Muhammad atau lebih dikenali sebagai al-Farra' al-Baghawi, dan beliau adalah Imam di dalam tafsir dan juga hadith. Beliau wafat pada 516 hijrah.
- Akidah Imam al-Baghawi Pada al-Asma' wa al-Sifat
Imam al-Baghawi berakidah salaf pada bab al-Asma' wa al-Sifat. Beliau mengithbat sebagaimana Allah mengithbat diriNya di dalam al-Quran. Di dalam kitab Syarh al-Sunnah, terdapat mukaddimah yang bermanfaat di mana beliau telah menerangkan akidah salaf dalam bab al-Asma' wa al-Sifat. Kata al-Baghawi:
والإصبع المذكورة في الحديث صفة من صفات الله عز وجل، وكذلك كل ما جاء به الكتاب أو السنة من هذا القبيل في صفات الله سبحانه وتعالى، كالنفس، والوجه والعين، واليد، والرجل، والإتيان، والمجيء، والنزول إلى السماء الدنيا، والاستواء على العرش، والضحك، والفرح
Maksudnya: "Al-Isba' (jari) yang disebut di dalam hadith adalah salah satu sifat Allah 'azza wa jalla, begitu juga setiap apa yang terdapat pada al-Quran atau al-Sunnah (hadith) melalui perihal ini pada sifat-sifat Allah Ta'ala seperti al-nafs (diri/jiwa), al-wajh (wajah), al-'ain (mata), al-yad (tangan), al-rijl (kaki), al-ityan (datang), al-maji'u (datang), al-nuzul (turun), al-istiwa (istiwa), al-dhahak (ketawa) dan al-farh (gembira)."
Antara ungkapan beliau yang menyimpulkan akidahnya pada akidah salaf:
فهذه ونظائرها صفات لله عز وجل، ورد بها السمع، يجب الإيمان بها، وإمرارها على ظاهرها معرضا فيها عن التأويل، مجتنبا عن التشبيه، معتقدا أن الباري سبحانه وتعالى لا يشبه شيء من صفاته صفات الخلق، كما لا تشبه ذاته ذوات الخلق، قال الله سبحانه وتعالى: {ليس كمثله شيء وهو السميع البصير} [الشورى:11 ]
Maksudnya: Maka inilah padanan sifat-sifat Allah 'azza wa jalla. Apabila disebut al-sam'u (mendengar), maka wajib untuk beriman dengannya, dan membiarkan pada zahirnya tanpa tafsiran yang menjurus kepada takwil, menjauhi dari tashbih, mempercayai bahawa al-Bari (Allah) Subhanahu wa Ta'ala tidak menyerupai sesuatupun sifat-sifatNya pada sifat-sifat makhlukNya. Allah Ta'ala berfirman: {Tiada sesuatupun yang Menyerupai Allah dan Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat} [al-Syura:11].
Katanya lagi:
وعلى هذا مضى سلف الأمة وعلماء السنة، تلقوها جميعا بالإيمان والقبول، وتجنبوا فيها عن التمثيل والتأويل، ووكلوا العلم فيها إلى الله عز وجل، كما أخبر الله سبحانه وتعالى عن الراسخين في العلم، فقال عز وجل: {والراسخون في العلم يقولون آمنا به كل من عند ربنا} [آل عمران: 7]. قال سفيان بن عيينة: كل ما وصف الله تعالى به نفسه في كتابه، فتفسيره قراءته، والسكوت عليه، ليس لأحد أن يفسره إلا الله عز وجل ورسله
Maksudnya: "Dan inilah pandangan Salaf al-Ummah dan juga Ulama al-Sunnah, mereka menerima dengan keimanan secara keseluruhannya. Mereka menjauhi sifat-sifat Allah dari tamsil dan takwil dan menyerahkan pengetahuan kepada Allah 'azza wa jalla, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala memberitahu mengenai al-Rasikhin fi al-'Ilm (orang yang kukuh lagi mantap dalam penguasaan ilmu) dengan berfirman: {Dan orang yang kukuh lagi mantap dalam penguasaan ilmu berkata: Kami beriman denganNya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami} [Ali Imran: 7]. Kata Sufyan bin 'Uyainah [wafat 198H]: Setiap apa yang disifatkan oleh Allah Ta'ala dengan diriNya sendiri pada KitabNya, tafsirannya adalah bacaannya, dan diam ke atas (tafsiran sebenar tersebut). Tiada seorangpun yang layak menafsirkannya kecuali Allah 'azza wa jalla."
No comments:
Post a Comment