Antara kesalahan fatal pemahaman golongan anak muda yang baru berjinak di dalam isu al-Asma' wa al-Sifat adalah terlalu mudah menuduh seseorang itu mujassimah, apabila dia mengithbat sifat Allah mempunyai telinga dan mata.
Jom kita lihat apa huraian al-Imam al-Khattabi al-Busti [wafat 388H] dalam kitabnya Ma'alim al-Sunan Syarh Sunan Abi Daud mengenai hadith riwayat Abu Daud, di mana Nabi s.a.w mengisyaratkan jarinya pada telingan dan mata ketika membaca ayat {سميعا بصيرا}:
وضعه اصبعه على أذنه وعينه عند قراءته سميعاً بصيراً، معناه اثبات صفة السمع والبصر لله سبحانه لا إثبات الأذن والعين لأنهما جارحتان والله سبحانه موصوف بصفاته منفي عنه ما لا يليق به من صفات الآدميين ونعوتهم ليس بذي جوارح ولا بذي أجزاء وأبعاض ليس كمثله شيء وهو السميع البصير
Maksudnya: "Nabi s.a.w meletakkan jari pada telinga dan matanya ketika membaca ayat {سميعا بصيرا}, maknanya ialah Baginda mengithbat sifat mendengar dan melihat kepada Allah subhanahu Ta'ala, bukan mengithbatkan telinga dan mata kerana kedua-duanya itu adalah anggota badan, dan Allah subhanahu Ta'ala menyifatkan dengan sifat-sifatNya yang ternafi sifat-sifat yang tidak layak baginya daripada sifat-sifat manusia dan karakteristik mereka. Allah tiada anggota badan, tiada juga sendi-sendi dan bahagian, tiada sesuatupun yang serupa seperti Allah dan Allah maha mendengar lagi maha melihat."
Namun, terdapat ihtimal kenapa al-Khattabi menafikan ithbat 'ain (mata) Allah. Sheikh al-Hasan 'Abd al-Rahman al-'Alawi di dalam kitab al-Imam al-Khattabi wa Manhajuh fi al-'Aqidah ada menyebut:
- Beliau menafikan ithbat mata kepada Allah 'Azza wa Jalla kerana ia adalah anggota badan sebagaimana golongan musyabbih mengithbatkannya. Pandangan beliau ini juga adalah benar, dan boleh jadi juga bukan ini beliau kehendaki dan maksudkannya. Kerana sesungguhnya ithbat mata kepada Allah Subhanahu Ta'ala dinyatakan sangat banyak di dalam nas-nas.
- Beliau menafikan ithbat mata kepada Allah Jalla wa 'Ala, dan beliau menyifatkan Allah sedemikian (tanpa ithbat). Ini menyelisihi secara total nas-nas syarak yang menunjukkan penetapan sifat ini, mengambil kira iktiqad beliau pada Ahlussunnah wa al-Jama'ah yang mana keseluruhannya mengithbatkan sifat Allah yang selayaknya dengan kesempurnaan dan kebesaran Allah Ta'ala.
KESIMPULAN
- Dapat difahami disini bahawa al-Khattabi tidak mengithbatkan mata kepada Allah kerana ia adalah anggota badan, kerana khuatir ia sama seperti apa golongan musyabbih nyatakan. Namun, boleh jadi juga beliau tidak memaksudkan demikian kerana terdapat nas yang cukup banyak mengithbatkan mata kepada Allah, lebih-lebih lagi iktiqad beliau pada Ahlussunnah wa al-Jama'ah yang mana keseluruhannya mengithbatkan sifat Allah yang selayaknya dengan kesempurnaan dan kebesaran Allah Ta'ala.
- Sebagai contoh, al-Tabari di dalam tafsirnya mengithbatkan mata kepada Allah pada ayat (بأعيننا) dengan menafsirkan sebagai بعين الله ووحيه كما يأمرك yang bermaksud "Dengan Mata Allah dan wahyuNya sebagaimana Allah memerintahkan kamu."
- Bahkan, mengithbat sifat Allah itu tidak menjadi tashbih, sebagaimana kata Abu al-Qasim al-Asfahani [535H] disini.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment