Epik klasik pergaduhan antara al-`Asya'irah dan al-Hanabilah amat sesuai dijadikan rujukan dalam menyelusuri isu taksub pandangan agama dan politik.
Al-Zahabi menukilkan di dalam Siyar pertelingkahan antara Ibn Nujayyah al-Hanbali [wafat 599H] dan al-Syihab Muhammad bin Mahmud al-Thusiy al-`Asy'ariy [wafat 596H]. Kata al-Zahabi, dari Abu Syamah:
كان يجري بينه وبين الشهاب الطوسي العجائب، لأنه كان حنبليا، وكان الشهاب أشعريا واعظا. جلس ابن نجية يوما في جامع القرافة، فوقع عليه وعلى جماعة سقف، فعمل الطوسي فصلا ذكر فيه: فخر عليهم السقف من فوقهم، جاء يوما كلب يشق الصفوف في مجلس ابن نجية، فقال: هذا من هناك، وأشار إلى جهة الطوسي
Maksudnya: "Pernah terjadi pertelingkahan antara Ibn Nujayyah dan al-Syihab al-Thusiy yang cukup luar biasa, kerana Ibn Nujayyah adalah Hanbali manakala al-Syihab adalah pemidato `Asy'ariy. Pada suatu hari Ibn Nujayyah mengadakan majlis ilmu di masjid al-Qarafah lalu bumbung masjid jatuh menimpa ke atasnya dan juga para jemaah. Melihat kejadian itu, al-Thusiy lantas membaca firman Allah [al-Nahl:26]: 'maka Allah telah menggugurkan bumbung jatuh menimpa ke atas mereka'. Manakala di hari lain pula ada seekor anjing menyalak dan meleraikan saf majlis Ibn Nujayyah, lalu beliau (Ibn Nujayyah) berkata: anjing ini datang dari sana, sambil mengisyaratkan kearah al-Thusiy."
Ibn Nujayyah adalah ulama kegemaran pemerintah pada waktu itu iaitu Salah al-Din al-Ayubi [wafat 589H]. Ia jelas disebut oleh Abu Syamah dalam Siyar:
كان كبير القدر، معظما عند صلاح الدين، وهو الذي نم على الفقيه عمارة اليمني وأصحابه بما كانوا عزموا عليه من قلب الدولة، فشنقهم صلاح الدين وكان صلاح الدين يكاتبه، ويحضره مجلسه، وكذلك ولده الملك العزيز من بعده
Maksudnya: "Ibn Nujayyah memiliki darjat kemulian besar yang dihormati disisi Salah al-Din. Beliaulah yang mendedahkan kepada Salah al-Din mengenai al-Faqih `Imarah al-Yamani dan konconya ketika mana mereka ingin merencana penggulingan ke atas Salah al-Din di ibu negara. Salah al-Din telah menggantung mereka selepas berhubung dengan Ibn Nujayyah mengenai perkara itu. Salah al-Din juga turut menghadiri majlis ilmu Ibn Nujayyah dan begitu juga selepasnya iaitu anaknya al-Malik al-`Aziz."
PEMERINTAH YANG ADIL PUN TIDAK DAPAT MENYELESAIKANNYA
Sungguhpun Salah al-Din beriktiqad `Asy'ariy menurut kata kebanyakan ulama, beliau adalah pemerintah yang adil dan tidak taksub. Beliau juga meminati Ibn Nujayyah yang bermazhab Hanbali sebagaimana disebut di atas. Akan tetapi, isu ketaksuban dan pertikaian tetap berterusan sekalipun dibawah pimpinan adil beliau. Dalam al-Suluk (200/1) karya al-Maqrizi [wafat 845H] menyebut:
جرت فتنة بين الأشاعرة والحنابلة، سببها إنكار الحنابلة على الشهاب الطوسي تكلمه في مسألة من مسائل الكلام في مجلس وعظه، وترافعوا إلى الملك المظفر بمخيمه، فرسم برفع كراسي وعظ الفريقين، وقد أطلق كل من الفريقين لسانه في الآخر
Maksudnya: "Telah terjadi fitnah diantara al-`Asya'irah dan al-Hanabilah atas sebab golongan al-Hanabilah menyangkal ucapan al-Thusiy mengenai permasalahan kalam di majlis pidatonya. Mereka membawa perkara ini kepada Salah al-Din di khemahnya, lalu Salah al-Din memerintahkan supaya dihentikan pidato bagi dua belah pihak, akan tetapi akhirnya dua belah pihak hanya membiarkan sahaja arahan itu."
Jadi, apakah kesudahannya? Mudah sahaja, jangan taksub!
No comments:
Post a Comment