Sunday, 22 September 2019

Menjawab Syubhat Penisbahan Kitab Syarh al-Sunnah al-Barbahari - SIRI 1

Kali ini kami ingin menjawab syubhat KITAB YANG TIDAK KUAT UNTUK DIJADIKAN RUJUKAN yang disiarkan oleh blog Jomfaham. Blog ini mendakwa al-Barbahārī pengarang kitab Syarh al-Sunnah dinilai sebagai pendusta dan pelbagai lafaz tajrih yang lain. Berikut adalah hujah dari blog ini:



1. Siapakah al-Barbahārī yang dikritik di dalam kitab al-Ansāb?

GAMBAR A

Apabila kita merujuk kitab al-Ansāb karya Ibn Mansūr al-Tamīmī al-Sam'ānī, ungkapan tajrih dari Abū Nu'aīm al-Asbahānī, Muhammad bin Abī al-Fawāris dan Abū al-Hasan bin al-Furāt pada GAMBAR A di atas tidak ditujukan kepada pengarang Syarh al-Sunnah.

Ini kerana, di dalam kitab al-Ansāb, terdapat DUA TOKOH yang dibicarakan oleh al-Sam'ānī:


  1. Abū Muhammad al-Hasan al-Barbahārī [329H].
  2. Abū Bahr bin Kauthar al-Barbahārī [362H].

Yang dikritik pada GAMBAR A di atas adalah Abū Bahr bin Kauthar al-Barbahārī yang wafat pada 362H. Manakala pengarang Syarh al-Sunnah iaitu Abū Muhammad al-Hasan al-Barbahārī wafat pada 329H dan beliau dinilai thiqah oleh di dalam kitab al-Ansāb. Lihat GAMBAR B di bawah:

GAMBAR B

Bahkan, al-Khatīb al-Baghdādī juga ada menukilkan biografi penuh Abū Bahr bin Kauthar al-Barbahārī yang jelas menunjukkan kalam kritikan yang sama sebagaimana pada GAMBAR A. Ini bukti jelas bahawa ada perbezaan biografi pada mereka berdua. Lihat GAMBAR C di bawah.

GAMBAR C


Tambahan pula di dalam kitab al-Ansāb, al-Barbahārī yang dikritik itu popular dengan gelaran muhaddith, manakala pengarang Syarh al-Sunnah popular dengan gelaran Sheikh al-Hanābilah, faqīh usūl dan furū' mazhab Hanbalī. Inilah yang dinyatakan oleh:


Al-Zahabī (GAMBAR D):



الحسن بن عليّ بن خَلَف، أبو محمد البَرْبَهاريّ الفقيه العابد [المتوفى: 329 هـ] شيخ الحنابلة بالعراق. كان شديداً على المبتدعة، له صيت عند السلطان وجلالة، وكان عارفًا بالمذهب أصولًا وفروعًا

Maksudnya: "Al-Hasan bin 'Alī bin Khalaf, Abū Muhammad al-Barbahārī al-Faqīh al-'Ābid [wafat 329H] Sheikh al-Hanābilah di 'Iraq. Beliau tersangat (memusuhi) golongan bid'ah. Beliau mempunyai kedudukan disisi sultan dan para pembesar. Beliau arif mazhab (Hanbalī) dari segi usūl dan furū'."


Al-Ziriklī (GAMBAR E):

الحسن بن علي بن خلف البربهاري، أبو محمد: شيخ الحنابلة في وقته. من أهل بغداد. كان شديد الإنكار على أهل البدع، بيده ولسانه. وكثر مخالفوه فأوغروا عليه قلب القاهر العباسي سنة 321هـ فطلبه، فاستتر. وقبض على جماعة من كبار أصحابه ونفوا إلى البصرة

Maksudnya: "Al-Hasan bin 'Alī bin Khalaf al-Barbahārī, Abū Muhammad: Sheikh al-Hanābilah pada zamannya dari penduduk Baghdad. Beliau sangat mengingkari golongan ahli bid'ah dengan tangan dan lisannya. Ramai orang (ahli bid'ah dan lain-lain) menentangnya dan mereka mencetuskan kemarahan ke atasnya pada zaman penggulingan al-Qāhir al-'Abbāsī tahun 321H, beliau diminta menyerah diri namun beliau bersembunyi. Beliau kemudian dilarikan oleh kibar ashabnya (al-Hanābilah) dan mereka melarikan diri ke Basrah."

GAMBAR D


GAMBAR E


2. Kepada siapakah gelaran al-Barbahāriyyah itu ditujukan?

GAMBAR F

Gelaran al-Barbahāriyyah pada GAMBAR F di atas atau di dalam kitab al-Bad'u wa al-Tārīkh karya al-Mutahhir bin Tāhir al-Maqdisī tidak ditujukan kepada pengarang Syarh al-Sunnah, tetapi ia ditujukan kepada golongan muhaddith. Di dalam kes ini ia lebih tepat merujuk kepada Abū Bahr bin Kauthar al-Barbahārī, kerana beliau popular sebagai muhaddith. Lihat GAMBAR G.

GAMBAR G


Bahkan, gelaran al-Barbahāriyyah, al-Hashwiyyah dan lain-lain adalah laqab yang diberikan oleh golongan ahli bid'ah dan ahli kalam kerana bencinya mereka terhadap golongan athar dan ahli hadith dalam kalangan al-Hanābilah:


الحنابلة هم أتباع مذهب الإمام أحمد بن حنبل رحمه الله ووصفهم بالحشوية هو من جهة أهل البدع وأهل الكلام، وليس رميهم بهذا الوصف قاصراً عليهم بل يطلقه هؤلاء المبتدعة على كل أتباع الحديث - ولو من غير الحنابلة- المتبعين مذهب السلف الصالح المعارض لمذاهب المتكلمين والفلاسفة ونحوهم، كما ورد عن الإمام أحمد أن من علامة أهل البدع تسمية أهل السنة بألقاب افتروها من عند أنفسهم


Maksudnya: "Al-Hanābilah adalah pengikut mazhab Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah dan mereka disifatkan sebagai al-Hashwiyyah oleh ahli bid'ah dan ahli kalam, gelaran ini bukan sahaja dilemparkan oleh mereka, bahkan golongan mubtadi' lain ke atas golongan yang menyelusuri hadith - sekalipun mereka bukan dari kalangan al-Hanābilah - iaitu orang yang mengikuti mazhab al-salaf al-sālih yang menentang mazhab-mazhab golongan ahli kalam, falsafah dan sebagainya, sebagaimana diriwayatkan oleh dari Imam Ahmad bahawa diantara tanda ahli bid'ah ialah menggelar ahli sunnah dengan gelaran tertentu yang jelik yang direka oleh mereka."

Rujuk: https://www.islamweb.net/ar/fatwa/105571/


3. Wujudkah kitab (فتح الباري بتكذيب نسبة كتاب شرح السنة للبربهاري) dan siapakah Sheikh Laits Makkah?

GAMBAR H



Pada GAMBAR H di atas, terdapat kitab yang membalas kesahihan kitab Syarh al-Sunnah. Namun, hasil carian kami tidak ditemui kitab tersebut sama ada secara fizikal mahupun elektronik. Bahkan, identiti penulis bernama Sheikh Laits Makkah juga tidak dikenali siapakah beliau. Jika ia wujud sila berikan butirannya. Jika tidak maka ia tidak ubah suatu pendustaan yang jelik.



KESIMPULAN

  1. Al-Barbahārī yang disebut di dalam kitab al-Ansāb bukan pengaran Syarh al-Sunnah.
  2. Gelaran Al-Barbahāriyyah tidak ditujukan kepada pengarang Syarh al-Sunnah.
  3. Nama kitab dan penulis tidak dikenali dan tidak wujud adalah suatu taktik penipuan bagi menutup kesahihan kitab Syarh al-Sunnah. 

WALLAHUALAM

No comments:

Post a Comment

Ibarat salaf لا يفسرها Merujuk Kepada لا يكيفها

Ramai mengatakan "mafhum" ibarat salaf (لا يفسرها) atau seumpamanya pada riwayat ayat sifat adalah indikasi mereka tidak menafsir...