Terdapat seorang Facebook User (FU) seolah mengatakan bahawa HANYA al-Albani [1420H] menyesatkan Nabi s.a.w sebelum wahyu diturunkan berdalilkan surah al-Dhuha ayat (ووجدك ضالا فهدى). Saya tidaklah meminati karya al-Albani. Namun, jika itu yang dimaksudkan oleh FU tersebut, maka beliau tersilap.
Apabila kita lihat cara tafsiran al-Albani itu, ia adalah tafsiran berdasarkan zahir ayat. Namun, adakah hanya al-Albani sahaja berpegang dengan cara tafsiran sedemikian? Jawapannya TIDAK. Ia juga dipegang oleh ulama sebelum kewujudan al-Albani lagi seperti Ibn al-Kalbi [146H] al-Suddi [127H] dan lain-lain. Di dalam al-Tafsir al-Basit karya Abu al-Hasan al-Wahidi al-Syafi'i [468H] menukilkan pandangan mereka:
وجرى بعض المفسرين على ظاهر الآية، فقال الكلبي:{وَوَجَدَكَ ضَالًّا}. يعني كافرًا في قوم ضلال فهداك للتوحيد. وقال السدي: كان على أمر قومه أربعين سنة
Maksudnya: "Terdapat juga sebahagian ahli tafsir menafsirkan pada zahir ayat, kata al-Kalbi: Firman Allah Ta'ala {وَوَجَدَكَ ضَالًّا}. Ia bermakna (Allah mendapati dirimu) Muhammad kafir bersama kaum yang sesat lalu Allah memberi petunjuk padamu kearah tauhid. Kata al-Suddi: Beliau (Muhammad) berkeadaan seperti urusan kaumnya (yang sesat) selama 40 tahun."
Al-Tafsir al-Basit karya Abu al-Hasan al-Wahidi al-Syafi'i [468H] |
Ulama tafsir Asya'irah semisal Ibn Furak [406H] di dalam kitab tafsirnya membawa takwilan bahawa Nabi s.a.w juga turut sama sesat seperti kaumnya:
معنى {ووجدك ضالا فهدى} وجدك لا تعرف الحق فهداك إليه، وقيل: ضالا عما أنت عليه من أمر النبوة والشريعة فهداك إليهما. وقيل: في قوم ضلال أي: فكأنك واحد منهم
Maksudnya: "Makna firman Allah Ta'ala {ووجدك ضالا فهدى} ialah Allah mendapati dirimu (Muhammad) yang tidak mengenali kebenaran lalu Allah memberi petunjuk padamu kearahnya, dikatakan juga: Kamu (wahai Muhammad) tersesat dari urusan kenabian dan syariat lalu Allah memberi petunjuk padamu kearah dua perkara ini. Dikatakan juga: Maksud (في قوم ضلال) itu ialah seakan kamu (Muhammad) salah seorang dari kalangan mereka (kaum yang sesat itu)."
Ulama tafsir Asya'irah yang terulung iaitu Fakhr al-Din al-Razi [606H] dalam Mafatih al-Ghaib turut menukilkan bahawa al-Kalbi dan al-Suddi mengatakan Nabi s.a.w kafir dan sesat sebelum menerima wahyu:
أما قوله تعالى: (ووجدك ضالا فهدى) فاعلم أن بعض الناس ذهب إلى أنه كان كافرا في أول الأمر، ثم هداه الله وجعله نبيا، قال الكلبي: (ووجدك ضالا) يعني: كافرا في قوم ضلال فهداك للتوحيد، وقال السدي: كان على دين قومه أربعين سنة
Maksudnya: "Adapun firman Allah Ta'ala: (ووجدك ضالا فهدى) ketahuilah bahawasanya sebahagian ahli tafsir berpendapat bahawa Muhammad itu kafir pada awalnya, kemudian Allah memberi petunjuk kepadanya dan menjadikannya Nabi, kata al-Kalbi: Firman Allah Ta'ala (ووجدك ضالا) bermaksud: Allah mendapati dirimu Muhammad kafir bersama kaum yang sesat itu, lalu Allah memberi petunjuk kepadamu kearah tauhid, kata al-Suddi: Beliau (Muhammad) beragama seperti agama kaumnya selama 40 tahun."
Mafatih al-Ghaib karya al-Razi |
Ini juga turut disokong oleh tokoh tafsir wanita kelahiran Mesir iaitu Dr. 'Aisyah binti 'Abd al-Rahman al-Syati' [1419H] dalam al-Tafsir al-Bayani Li al-Quran al-Karim:
ومن المفسرين من قالوا في آية الضحى: إن الضلال هنا هو الكفر، ذكره "الرازي" معزواً إلى الكلبي والسدي ومقاتل، بمعنى أن محمداً - صلى الله عليه وسلم - كان على أمر قومه أربعين سنة
Maksudnya: "Dan diantara golongan ahli tafsir yang mengatakan pada ayat surah al-Dhuha: Sesungguhnya al-dholal (sesat) ini bermaksud kafir, pandangan ini disebut oleh al-Razi yang disandarkan kepada al-Kalbi, al-Suddi dan Maqatil dengan membawa maksud bahawa Muhammad s.a.w itu berkeadaan seperti urusan kaumnya (yang sesat) selama 40 tahun."
Al-Tafsir al-Bayani Li al-Quran al-Karim karya Dr. 'Aisyah binti 'Abd al-Rahman al-Syati' |
Berdasarkan hujah diatas, memang terdapat ulama sebelum al-Albani yang menafsirkan ayat secara zahir, dan ia menyelisihi jumhur ulama tafsir. Pandangan jumhur ulama tafsir dalam hal ini bahawa Nabi s.a.w maksum sama ada sebelum atau selepas kenabiannya, beliau tidak menyembah berhala, tidak kafir dan tidak melakukan amalan syirik. Bahkan tafsiran ayat (ضالا) menurut jumhur bermaksud al-jahl, al-hairah, al-ghaflah dan banyak lagi dan bukan bermaksud secara sesat hakiki.
Adalah TIDAK ADIL jika dikatakan apabila al-Albani menafsirkan ayat (ووجدك ضالا فهدى) membawa erti al-Albani ingin menyesatkan Nabi s.a.w. Ya, memang al-Albani tersilap dalam hal ini, namun untuk mengatakan al-Albani ingin menyesatkan Nabi s.a.w sedangkan pada masa yang sama ada ulama tafsir lain sebelum kemunculan al-Albani menafsirkan lebih melampau dari al-Albani iaitu Nabi s.a.w itu kafir sebelum turunnya wahyu - mereka tidak dituduh ingin menyesatkan Nabi s.a.w. Cukup sahaja ulama menilai tafsiran mereka sebagai menyelisihi jumhur atau mereka tersilap dalam isu ini.
Adakah kita tahu dalam hati mereka berniat untuk menyesatkan Nabi s.a.w? Sudah tentu tidak. Secara teorinya, mereka hanya mengatakan ia tidak mustahil secara aqli. Sebagai contoh Asya'irah juga pada mulanya mengatakan tidak mustahil secara aqli bahawa seseorang itu kafir pada awalnya lalu Allah kurniakannya keimanan dan memuliakannya dengan kenabian. Namun akhirnya ia tidak mungkin terjadi berdasarkan dalil surah [al-Najm: 2] sebagaimana dinukilkan oleh Fakhr al-Din al-Razi [606H] dalam Mafatih al-Ghaib.
Berdasarkan hujah diatas, jika kita hendak sembrono, boleh sahaja kita katakan ulama Asya'irah telah mengkafirkan Nabi s.a.w sebelum beliau menerima wahyu, namun sikap kita tidak terburu bahawa bukan itu yang dimaksudkan oleh ulama Asya'irah. Begitu jua halnya sikap kita kepada al-Albani, jika kita katakan beliau telah menyesatkan Nabi s.a.w, bacalah dahulu kitab-kitabnya yang lain sebelum menghukum beliau hanya pada satu kitab sahaja.
BERLAKU ADIL DALAM MENILAI!
No comments:
Post a Comment