Monday, 27 April 2020

Ibarat salaf لا يفسرها Merujuk Kepada لا يكيفها

Ramai mengatakan "mafhum" ibarat salaf (لا يفسرها) atau seumpamanya pada riwayat ayat sifat adalah indikasi mereka tidak menafsirkannya = tidak mengetahui maknanya, dan lantas disimpulkan mereka tafwidh makna.

Namun, terdapat riwayat yang sahih bahawa mafhum ibarat diatas adalah (لا يكيفها). Ia berdasarkan ucapan Abu 'Ubaid al-Qasim bin Salam [224H] selepas menukilkan hadith mengenai ayat-ayat sifat:


هذه الأحاديث صحاح حملها أصحاب الحديث والفقهاء بعضهم على بعض، وهي عندنا حق لا نشك فيها، ولكن إذا قيل: كيف وضع قدمه؟ وكيف ضحك؟ قلنا: لا يفسر هذا ولا سمعنا أحدا يفسره


"Hadith-hadith sahih ini dipegang oleh golongan hadith dan para fuqaha sesama mereka dan hadith ini adalah benar disisi kami dan tidak kami meraguinya."

"Namun sekiranya ditanya: Bagaimana Allah meletakkan kakiNya? Bagaimana Allah ketawa? Kami katakan: Ini tidak ditafsirkan dan kami tidak pernah mendengar seorangpun mentafsirkannya."



Ibarat salaf (لا يفسرها) diatas merupakan jawapan kepada soalan "kaif" bagi orang yang bertanya secara terperinci, yang mana boleh menjurus kepada tashbih. Justeru, jelas (لا يفسرها) merujuk kepada (لا يكيفها)

Kalaulah kita katakan salaf tidak mentafsirkan ayat sifat, maka ia bertentangan dengan banyak athar sahih lagi mutawatir bahawa salaf menafsirkan ayat sifat seperti istawa dll, hatta huruf al-muqata'ah sekalipun.

Malahan, al-Qawwam al-Sunnah Abu al-Qasim al-Asbahani [535H] turut mengatakan:


قال أهل العلم من أهل السنة: هذه الأحاديث مما لا يدرك حقيقة علمه بالفكر والروية


"Para sarjana dari kalangan Ahli Sunnah mengatakan: Hadith-hadith ini dimana tidak tercapai hakikat ilmunya (hakikat sebenarnya) dengan fikiran dan telahan."

Ini jelas menunjukkan salaf hanya tafwid kaifiyyah, namun memahami makna dan menerima ayat sifat secara zahir dan beriman tanpa mengubah maksudnya.



Ayat Sifat Adalah Ayat Muhkamat

Ibn Rajab al-Hanbali di dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari menukilkan satu riwayat sahih dari Musannaf Abd al-Razzaq di mana Ibn 'Abbas mengecam orang yang tidak boleh menerima hadith ayat sifat neraka tidak penuh selagi mana Allah tidak meletakkan kakiNya:

وقد صح عن ابن عباس أنه أنكر على من أستنكر شيئاً من هذه النصوص، وزعم أن الله منزه عما تدل عليه: فروى عبد الرزاق في ((كتابه)) عن معمر، عن ابن طاوس، عن أبيه، قال: سمعت رجلاً يحدث ابن عباس بحديث أبي هريرة: ((تحاجت الجنة والنار)) ، وفيه: ((فلا تمتلي حتى يضع رجله)) -أو قال: ((قدمه - فيها)) . قال: فقام رجل فانتفض، فقال ابن عباس: ما فرق هؤلاء، يجدون رقة عند محكمة، ويهلكون عند متشابهه. وخَّرجه إسحاق بن راهويه في ((مسنده)) عن عبد الرزاق. ولو كان لذلك عنده تأويل لذكره للناس ولم يسعه كتمانه


"Telah sahih dari Ibn 'Abbas bahawasanya beliau mengecam ke atas sesiapa yang mengingkari sesuatu dari nas-nas (ayat sifat) ini dengan dakwaan Allah Ta'ala tersisih jauh dari apa yang ditetapkan ke atasNya."

"Diriwayatkan dari Abd al-Razzaq dalam kitabnya dari Ma'mar, dari Ibn Towus, dari ayahnya berkata: Aku mendengar seorang lelaki berbicara dengan Ibn Abbas mengenai hadith Abu Hurairah: (syurga dan neraka saling berbantah) - antara halnya - (neraka tidak akan penuh sehingga Allah meletakkan kakiNya).

"Lalu lelaki itu berdiri dan menggigil (seolah mengingkari maknanya). Berkata Ibn 'Abbas: Apa yang membuatkan mereka takut? Mereka terbuka menerima ayat muḥkam dan binasa pada ayat mutasyabih."

"(Kata Ibn Rajab): Ishaq bin Rahawaih meriwayatkan hadith ini di dalam musnadnya dari Abd al-Razzaq. Kalaulah disisinya (Ibn 'Abbas) mempunyai takwilan sudah tentu beliau menyebutkannya kepada orang ramai dan beliau tidak mampu menyembunyikannya."




Dapat difahami bahawa:

  1. Ibn Abbas mengecam orang yang menghadiri majlisnya dari kalangan awam saat mereka berasa takut mendengar hadith sifat Allah dan gementar seakan mengingkarinya.
  2. Mereka tidak meraih keimanan yang wajib mengenai apa yang sahih dari Nabi s.a.w dan apa yang mereka telah ketahui maknanya dari al-Quran, sedangkan makna itu benar tanpa ada keraguan di dalamnya bagi seorang mukmin.
  3. Sebagian mereka mentafsirkan al-Quran dengan makna lain yang tidak dikehendaki Allah sehingga mereka binasa disebabkannya.


Ibn 'Uthaimin di dalam Majmu' Fatawa beliau menukilkan 3 wajah riwayat mengenai cara bacaan dan maksud (ما فرق) pada hadith di atas. (Rujuk kitab di bawah)



Dapat disimpulkan bahawa memang jelas ayat sifat adalah ayat muhkamat, bukan mutasyabihat.

Wallahualam

Ibarat salaf لا يفسرها Merujuk Kepada لا يكيفها

Ramai mengatakan "mafhum" ibarat salaf (لا يفسرها) atau seumpamanya pada riwayat ayat sifat adalah indikasi mereka tidak menafsir...